Malam tadi, saya menelaah buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Mula-mula, saya meneliti ucapan YAB Dato' Sri Mohd Najib b. Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Ada beberapa perkara yang ingin saya kongsikan bersama. Menurut beliau, Pelan ini dijana adalah untuk menjayakan Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi. Transformasi pendidikan perlu untuk murid agar mampu menguasai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke 21. Bukan sekadar menambah bilangan guru dan kakitangan tetapi menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran agar lebih dinamik. Beberapa perubahan turut dilakukan iaitu aspek pendekatan pembelajaran murid, kaedah pemilihan guru, latihan guru, penyediaan ganjaran kepada guru dan pemimpin sekolah dan pendekatan pengoperasian kementerian.
Maka, berdasarkan ucapan beliau, beberapa perkara perlu diambil perhatian oleh guru-guru terutamanya diri saya. Penekanan kepada pengajaran dan pembelajaran yang lebih dinamik terhadap murid perlu dilaksanakan dengan bijak dan sistematik. Perancangan, alat bantu mengajar dan latihan hendaklah sesuai dengan keperluan generasi abad 21. Penerapan HOT Skills adalah sangat penting bagi menyediakan murid yang mahir dalam bidang kemahirannya berbekalkan modal intelektual yang tinggi.